dream. if its the only thing that makes u smile, then, dream

Tuesday 19 November 2019

Puisi Eksperimental

Puisi eksperimental secara informalnya wujud disebabkan ada sesetengah penyair yang cuba mencari kelainan dalam seni berpuisi. Suatu perubahan ini sudah pasti dapat mengembangkan lagi nilai-nilai sastera itu sendiri dan juga menggalakkan pembaca untuk menilai puisi eksperimental ini secara mendalam, lebih kritis dan juga secara tingginya intelektual. Puisi eksperimental merupakan satu puisi yang lain daripada yang lain, memecahkan tembok mainstream dan cliche untuk pergi lebih luas lagi. Pada awalnya, puisi eksperimental tidak dapat diterima kerana mempunyai rangka yang terlalu bebas dengan licentia poeticanya, menggunakan kebebasan yang "dalam" seninya, menggunakan teori strukturalisme dalam penanda dan ditandai. Penulis karya puisi menggunakan teori ini dengan lebih meluas lagi di dalam karya yang dihasilkan, di mana menyebabkan ramai pengkritik yang membahas bahawa puisi-puisi ini kabur, bersifat tidak relevan, dan amat susah untuk difahami maknanya. Namun secara tersiratnya, puisi-puisi eksperimental ini memerlukan satu sifat intelektual yang tinggi untuk memahaminya. Malahan pula, sebuah puisi itu mempunyai sifat ambiguiti di mana maknanya bersifat universal. Menurut William Empson, semakin sastera itu sukar dan ambiguiti sifatnya, semakin ia kaya dan berhasil. Masyarakat yang sering didedahkan kepada benda-benda yang senang dan mudah, mereka secara tidak sengaja akan terbudayakan sifat "simple-minded" dan selalu bersikap mudah, tidak mahu memikir dengan lebih mendalam atau merumitkan kepala otak. Menurut Ahmad Kamal Abdullah pula, puisi tidak akan stereotaip tugasnya akan lahirlah kepelbagaian ragam atau corak penciptaan. Melalui puisi-puisi eksperimental ini, akan lahir pula generasi baharu yang akan menciptakan sesuatu yang baharu pula melalui penghayatan puisi-puisi eksperimental ini yang dijadikan eksperimen dalam mencari kelainan dalam karya mereka.

Pak AGI atau nama sebenarnya Abdullah Ghafar Ibrahim merupakan satu-satunya penggerak puisi eksperimental yang mempersembahkan puisinya melalui model Tri-V iaitu Verbal, Vocal dan Visual. Puisi yang dibawa oleh beliau berbentuk puisi persembahan dimana ia lebih mementingkan keberkesanan puisinya untuk menghibur penonton. Beliau percaya dengan bunyi yang memberi kesan pendengaran kepada penontonnya. Menurut Pak AGI, puisi bermula dengan keseronokan dan berakhir dengan kebijaksanaan. Puisi menurut beliau tidak harus statik dan ia harus disuarakan kepada penonton, dapat menghibur penonton dari cara bagaimana ia mempersembahkan sebuah puisi itu, ia harus melepaskan kemarukan jiwa yang terkandung dalam setiap bait puisi itu. Dalam persembahan puisi eksperimental ini, beliau bebas mengekspresi dirinya melalui pergerakan, vokal ataupun penggunaan props. Puisi eksperimental juga bersifat komunikatif dimana Pak AGI sentiasa berinteraksi dengan penonton ketika berpuisi, seperti seorang penyanyi yang menghalakan mikrofonnya ke udara untuk pendengarnya menyanyi bersama-sama.

Wednesday 13 November 2019

Hijrah Ke UK

Kita kabur sebentar
Dari ributnya cuaca bilik kuliah

Kita alih pandangan
Dari kertas-kertas pucat
Dari gajet yang men-tuhan

Kita alih rasa
Dari cemuh-cemuhan
Kepada cinta-cintaan

Kita kabur sebentar
Ke alam apresiasi
Menghargai puisi
Dari isi hati setiap anak penuh kasih
Menghargai segarnya udara
Dan mesranya bicara
Tanpa mempersoal yang lara

"Kau Di Hatiku"
Tawa riang serta rajukmu
Tingkah nakal serta luahmu
Rasa berat rinduku untuk cari temu

Satu ego rumit untuk dibasmi
Kamu juga dihati kami...

Tribute to anak-anak SK Ulu Kukut, Kota Belud (UK)
12 November 2019
Kota Kinabalu.