dream. if its the only thing that makes u smile, then, dream

Thursday 7 November 2019

Aku Binatang Jalang: Chairil Anwar

Kalau sampai waktuku
‘Ku  mau tak seorang ‘kan merayu
Tidak juga kau
Tak perlu sedu sedan itu
Aku ini binatang jalang
Dari kumpulan yang terbuang
Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang
Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri
Dan aku akan lebih tidak peduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi!

-Aku, Chairil Anwar.-

Chairil Anwar tidak lain, tidak bukan. Seorang karyawan yang mati muda namun namanya terus hidup sehingga harini kerana karya-karya yang ditinggalkan beliau meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada pembaca-pembaca karyanya. Karya "Aku" yang memiliki lebih dari seribu makna meninggalkan berbagai persoalan kepada penginterpretasi karyanya. Karya Aku yang dianggap sebagai puisi yang mengkritik tentang penjajahan Barat di tanah Indonesia semasa beliau hidup, bagi saya bukanlah sesuatu yang mempersoalkan tentang sebuah penjajahan dan perjuangan terhadap tanah air sahaja.

Melihat hasil-hasil karya beliau serta sejarah kehidupan yang dituliskan oleh rakan-rakan beliau, Chairil banyak menghabiskan masanya dalam memikirkan dan mencari erti eksistensialisme. Beliau turut terkenal dengan semangatnya yang kental, tidak mudah berputus asa serta bersungguh sedaya upaya dalam mengejar citanya, atau dalam erti kata yang lain, mengejar apa yang dia mahukan, untuk dirinya. Beliau adalah seorang yang amat gemar membaca sehingga mampu untuk menghabiskan satu buku dari malam ke pagi. Oleh hal yang demikian, sifat obses beliau dalam membaca buku serta tingginya sifat ingin tahu beliau telah menjadikan beliau seorang yang sangat terpengaruh dengan karya-karya ahli falsafah yang juga banyak mempersoalkan hal-hal yang berkait dengan eksistensial seperti Friedrich Nietzsche. 

Cemara menderai sampai jauh
terasa hari akan jadi malam
ada beberapa dahan di tingkap merapuh
dipukul angin yang terpendam

Aku sekarang orangnya bisa tahan
sudah berapa waktu bukan kanak lagi
tapi dulu memang ada suatu bahan
yang bukan dasar perhitungan kini

Hidup hanya menunda kekalahan
tambah terasing dari cinta sekolah rendah
dan tahu, ada yang tetap tidak terucapkan
sebelum pada akhirnya kita menyerah


Satu fasa Chairil Anwar terlihat seperti putus asa dengan kehidupannya dimana beliau gagal mencari erti eksistensial. Semakin kita jadi dewasa, semakin banyak yang kita lalui, dan apa yang kita lalui akan menjadi pengajaran dan hikmah kepada kita pada masa hadapan, untuk menjadikan kita lebih kuat lagi menghadapi ujian yang lebih perit lagi di masa hadapan. Di sini, Chairil mempersoalkan, apa makna kehidupan? Apakah maknanya kita hidup jika akhirnya kita semua akan mati? Seperti yang beliau katakan, mencari makna kehidupan itu adalah sesuatu yang sia-sia dan akhirnya beliau menyatakan di dalam puisinya, "hidup hanyalah menunda kekalahan".

Pendapat peribadi saya sebagai seorang yang masih dan akan sentiasa belajar menjadi penulis, Chairil Anwar merupakan seorang pejuang eksistensial yang gagah pada mata fikir saya. Saya kurang bersetuju dengan pendapat beliau bahawa mencari makna hidup adalah sesuatu yang sia-sia. Mungkin benar, dalam sisi internal, sebuah kehidupan itu memiliki satu makna yang agak besar dan sangat misteri untuk di pecahkan kepada abjad-abjad, dan manusia selalunya memilih untuk meredahi kehidupan tanpa mempersoalkan apa-apa, mungkin sesetengah orang sedar bahawa kehidupan itu sebenarnya menyeramkan kerana kita tidak tahu apa yang bakal berlaku seminit selepas ini, sesaat selepas ini, esok atau tulat, dengan hanya berbekalkan harapan yang kita tulis, yang kita panjatkan kepada Pencipta masing-masing agar dikabulkan, tetapi secara Islamnya, kun fayakun. Kita selalu memaksa hati, atau secara redhanya, bertawakkal untuk menerima apa sahaja bentuk respons yang Pencipta beri, sama ada berbentuk sedih atau gembira.  Namun begitu, menjadi manusia yang bersikap idiosyncractic, atau menjadi manusia "normal" yang menjalani kehidupan normal, adalah pilihan masing-masing. Sesetengah mengidamkan kehidupan yang normal, memiliki ibubapa yang tidak punya masalah, belajar dan masuk ke universiti, mendapat keputusan cemerlang, kerja yang baik, gaji yang berpatutan, berkahwin dan punya anak, punya keluarga bahagia dan menjalani sisa-sisa kehidupan bersama yang tersayang hingga ke akhir hayat. Namun secara ironinya, kehidupan seperti itu hanya layak menjadi fantasi setiap umat manusia. Oleh hal yang demikian, eksistensialisme merupakan satu escapism untuk manusia lari dari fantasi dan bersikap realisme dalam kehidupan yang dijalani. Makna hidup harus dicari, dan ianya bukanlah sesuatu yang sia-sia, makna kehidupan bukanlah sesuatu yang tidak pasti. Ianya pasti. Namun proses pencarian itu menggalak manusia untuk terus mencungkil rahsia-rahsia kehidupan yang lain, yang menjadi klu-klu kepada pencarian makna sesuatu yang besar. Saya percaya pada akhir hayat Chairil Anwar, mungkin beliau sudah menemui jawapannya, tetapi tidak sempat untuk menulisnya. Dan jawapan itu hanya dapat dijumpa oleh yang sudah benar-benar mengerti kehidupan.


No comments: