Perkataan mitos
berasal daripada bahasa Yunani iaitu muthos yang bermaksud cerita atau sesuatu
yang dikatakan seseorang. Menurut Malinowski, perkataan mitos dan legenda
mempunyai maksud yang berbeza, begitu juga dengan perkataan dongeng. Menurut Dhavamony
pula, mitos dalam kaitannya dengan agama menjadi penting bukan semata-mata
kerana benda-benda ghaib ataupun peristiwa-peristiwa mengenai makhluk,
melainkan kerana mitos tersebut memiliki fungsi eksistensial bagi manusia dan
mitos itu harus dijelaskan mengikut fungsinya. Mitos ini terhasil daripada
cerita-cerita dari orang primitif (nenek moyang) yang disampaikan secara turun
temurun melalui lisan, orang yang menyampaikan mitos sangat dihormati kerana
dipercayai figura tersebut mempunyai nilai-nilai sakral yang menggalakkan
rakyat meletak kepercayaan yang tinggi. Mitos disampaikan untuk usaha membantu
dalam membentuk nilai serta memperkuatkan moral. Cerita-cerita mitos yang
disampaikan berbentuk kata kiasan yang indah dan fantasi, bersayap atau kisah
yang indah yang memiliki inti dalam realiti.
Dongeng
pula adalah cerita yang direka semata-mata untuk memberi hiburan dan pesanan
moral. Dongeng digunakan sebagai satu medium untuk membentuk karakter
kanak-kanak dalam mendalami nilai-nilai budi pekerti. Hal ini kerana
cerita-cerita dongeng dapat meningkatkan rasa ingin tahu dalam kalangan
kanak-kanak sekaligus memberi pengajaran terhadap nilai-nilai karakter yang ada
dalam cerita dongeng.
Perkataan
mitos seringkali dikaitkan dengan dongeng. Mitos dan dongeng mempunyai satu
persamaan iaitu sebuah folklore. Namun begitu, mitos bukanlah cerita dongeng
yang direka-reka untuk menakut-nakutkan orang tetapi cerita-cerita mitos ini
mempunyai kaitan dengan kepercayaan nenek moyang yang dahulu percaya bahawa
setiap sesuatu itu mempunyai semangat. Bertitik tolak daripada kepercayaan itu,
cerita mitos ini mempunyai ciri-ciri sakral yang dihormati dan diteladani
secara turun temurun dalam mengekalkan moral dalam diri manusia.
Mitos juga
mempunyai kaitan yang sangat dekat dengan agama, seperti yang tertulis dalam
Surah Al-Waqiah,
ayat 22:
وَحُوۡرٌ عِيۡنٌۙ
Maksud: Dan ada bidadari-bidadari yang bermata indah,
ayat 23:
كَاَمۡثَالِ اللُّـؤۡلُـوٴِالۡمَكۡنُوۡنِۚ
Maksud: Laksana mutiara yang tersimpan baik.
Orang Islam percaya bahawa Syurga itu wujud walaupun tidak dapat dilihat dengan mata kasar, orang Islam juga percaya wujudnya alam kubur selepas kematian, wujudnya padang masyar serta syurga dan neraka. Hal ini kerana hal-hal yang dipercayai ini tertulis di dalam kitab Al-Quran. Seperti ayat di atas yang tertulis bahawa ada bidadari yang bermata indah laksana mutiara yang tersimpan baik, ayat tersebut merupakan satu gambaran indah yang terdapat di dalam syurga. Orang Islam percaya bahawa Syurga itu Indah, manakala Neraka itu penuh dengan api. Mitos dan agama tidak dapat dipisahkan dengan manusia, tanpa kepercayaan agama, mitos juga tidak akan hidup, dan manusia tidak dapat hidup tanpa mitos yang menjadi satu alat motivasi untuk mereka terus membentuk sahsiah diri.
No comments:
Post a Comment