Orang miskin dilarang ketawa!
Orang miskin dilarang sakit!
Orang miskin juga dilarang failed!
(diambil dari artwork Maminkfesto)
Di zaman yang semakin robotik dan menolak kewujudan flora dan fauna
ini, bukan sahaja bangsa homosapiens yang asalnya genius itu dijadikan sebagai
kaum superior antara benda-benda hidup yang tinggal setapak di bumi, tetapi
sesuatu sifat subjek-objek yang ditandai kolonial ini secara perlahan
menghilangkan kaitan antara subjek dan objek sekaligus menjadi Tuhan di mata
para hidupan, mikroorganisma serta daun-daun yang tidak pernah lelah dengan
proses fotosintesisnya. Bangsa homosapiens dahulu mengkelaskan dirinya dengan
tumbuhan serta haiwan melalui subjek-objek, lalu tumbuhan dan haiwan menjadi
sumber batu loncatan kepada sistem permanusiaan, meningkatkan taraf hidup
manusia dalam melunaskan kehendak dan keperluan manusia. Bangsa manusia semakin
mendongak tinggi, melupakan kepentingannya sebagai bangsa yang dipercayai
menjaga yang non superior sehingga pengkelasan manusia berlaku.
Bertitik tolak daripada pembentukan tamadun rakyat manusia, beberapa
sistem wujud asbab idea pengkelasan itu sendiri yang disebut feudalisme, dan
juga pengkastaan yang diamalkan orang Hindu. Sistem feudalisme dan pengkastaan
ini telah memberi tanda dan reifikasi terhadap manusia dimana kaumnya diasingkan
melalui tanda kaya dan tanda miskin. Orang yang ditandai sebagai kaya ialah
orang yang mempunyai kuasa dan harta, manakala orang yang ditandai sebagai
miskin ialah orang yang tidak mempunyai kuasa dan harta. Melalui sistem feudal,
orang-orang kaya ialah orang yang menjadi pemerintah manakala orang miskin
ialah orang yang menjadi suruhan orang kaya. Melalui sistem pengkastaan Hindu
pula, terdapat beberapa kumpulan yang dibahagikan kepada Brahmin, Ksatria,
Vaishyas dan juga Shudras. Seperti sistem feudal Brahmin memperoleh kedudukan
tertinggi dan Shudras adalah yang dibawah. Keempat kedudukan ini dinamakan
sebagai Varna, sebuah kelas lagi dinamakan Achoot yang juga dipanggil sebagai
golongan Dalit. Pada kepercayaan Hindu, orang Dalit dilahirkan miskin dan juga
akan mati dalam keadaan miskin.
Manusia hidup satu sfera dengan berbagai jenis sistem seperti
birokrasi. Birokrasi merupakan satu
sistem yang merujuk kepada cara sesebuah pentadbiran dengan mewujudkan undang-undang
atau peraturan. Sistem ini diamalkan di hospital, sekolah, kementerian,
mahkamah dan lain-lain. Wujudnya birokrasi ini telah menambah kesulitan kepada
manusia-manusia yang terkelaskan menyebabkan orang-orang kaya menjadi semakin
kaya dan orang miskin menjadi semakin miskin. Dalam birokrasi, duit menjadi
segala kunci kepada setiap urusan mahu hospital ataupun sekolah. Oleh itu,
orang-orang miskin menjadi manusia separuh entiti dalam realiti kehidupan di
mana mereka harus menanggung kesulitan tersebut.
Di zaman modernisasi ini, wang adalah segalanya. Manusia perlukan wang untuk terus hidup. Wang menjadi ukuran darjat seseorang, menjadi punca kuasa seseorang dan menjadikan manusia Tuhan walaupun sebaliknya manusialah yang menyembah sehelai kertas yang mempunyai nilai pada zaman ini. Wang untuk orang kaya-kaya, orang miskin hanya layak memegang daun-daun.
Orang miskin dilarang ketawa, kerana yang berhak ketawa adalah
orang-orang kaya. Orang kaya punya wang yang boleh membuatkan kehidupan mereka
selesa, indah dan untuk mempunyai masa terluang menghirup kopi dan makan
sepotong kek sambil bercengkerama dengan orang-orang kaya yang lain, juga perlu
wang, untuk menikmati situasi seperti itu perlukan sebuah taman bertema
bunga-bungaan, juga perlu wang untuk membina landskap seperti itu.
Orang miskin dilarang sakit, kerana yang berhak sakit hanyalah orang-orang kaya. Orang-orang kaya punya wang untuk membeli ubat di farmasi, punya wang untuk menjalani rawatan di rumah sakit, punya wang untuk beli nyawa. Orang miskin dilarang sakit kerana tidak punya wang untuk beli nyawa.
Orang miskin dilarang menjadi gagal. Kerana sekali kegagalan perlu
wang untuk menjalani ujian semula, sekali gagal akan membuat orang miskin jadi
semakin miskin. Hanya apabila terlepas dari kegagalan, orang miskin boleh jadi
kaya, dan terus jadi manusia yang akan memiskinkan lagi yang miskin.
Orang miskin adalah orang yang paling kaya. Kaya nilai homosapiens,
tidak perlu wang untuk bernafas, tidak perlu wang untuk bahagia, tidak perlu
wang untuk terus mengekalkan nilai-nilai manusia dalam dirinya. Orang miskin
adalah orang yang paling kaya, kerana kaya nilai dari terjerumus dalam
reifikasi manusia-manusia yang mencurangi title
superiornya.
No comments:
Post a Comment