dream. if its the only thing that makes u smile, then, dream

Friday 20 September 2019

Sastera Rakyat dalam Dunia Folklore.


Istilah ‘kesusasteraan’ atau ‘sastera’ merujuk kepada karya-karya lisan serta tulisan yang disampaikan melalui bahasa dan berbagai-bagai alatannya. Terdapat banyak takrifan mengenai sastera, salah satu sasterawan iaitu Za’ba (1931), menggunakan perkataan karangan sebagai istilah karya sastera seperti puisi, naratif dan esei. Sastera pada mulanya bergerak sebagai medium untuk membantu masyarakat. Selain menjadi pengubat, sastera terus berfungsi untuk membantu kehidupan manusia atau masyarakat. Termasuklah nilai-nilai dasar, kehalusan cara berinteraksi antara manusia dan seni, memberi kesedaran dan pendedahan, contohnya manusia yang disanjung dan baik serta pengetahuan yang melancarkan perjalanan kampung dan negeri. Hal ini adalah untuk mementingkan unsur manfaat dan faedah yang mungkin diperolehi daripada karya sastera seperti  Hikayat Raja-Raja Pasai, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan seterusnya. Dalam sastera, kita turut melihat berbagai-bagai bentuk pengetahuan rohaniah dan praktikal untuk digunakan setiap hari ataupun untuk dunia akan datang.
Walaubagaimanapun, sastera pada masa kini semakin tidak mendapat perhatian dalam kalangan remaja disebabkan wujud saingan antara sastera klasik dan juga sastera moden. Budaya membaca masih lagi wujud cuma generasi kini lebih tertarik kepada bahan bacaan yang mampu membuat mereka keluar daripada alam maya seperti buku-buku genre indie. Pendedahan awal telah pun diberikan kepada pelajar-pelajar dengan memperkenalkan pelajaran KOMSAS kepada pelajar sekolah menengah. Namun begitu, pelajar-pelajar lebih tertarik kepada buku indie daripada buku sastera klasik kerana ianya mengandungi isi yang sangat serius, serta mengandungi perkataan-perkataan yang tidak mudah difahami dan membuatkan mereka berasa cepat bosan. Tentu saja untuk melahirkan rasa minat dalam ilmu sastera melayu klasik ini perlu kesedaran dan rasa ingin tahu yang kuat bagi menggalakkan seseorang itu untuk terus membudayakan tabiat membaca.
Sastera bukan sahaja berfungsi untuk meningkatkan daya intelektual ataupun meningkatkan daya berfikir secara kritikal dalam kalangan masyarakat tetapi memberi pendedahan serta kesedaran untuk membincangkan berbagai isu yang dibangkitkan. Secara kebiasaannya, karya yang dihasilkan tidak ditulis secara terang-terangan oleh penulis dalam mengkritik atau membahas isu tersebut namun penulis menggunakan teknik tersirat. Sebagai contoh, diskriminasi terhadap wanita ditulis oleh Pramoedya dan beliau membawa watak-watak wanita kerana cerita-cerita daripada wanita tersebut mempunyai kaitan dengan mangsa-mangsa penindasan. Karya “Gadis Pantai” menceritakan tentang seorang gadis belasan tahun yang dibawa keluar dari kampung dan melihat dunia baharu, gadis tersebut menjadi keliru terhadap segala yang dialaminya lalu tercetus berbagai persoalan eksistensial dan persoalan tentang hak sebagai seorang wanita. Karya seperti ini memberi kesedaran terhadap pembaca untuk menghargai sosok wanita, menghargai kewujudannya serta memberi layanan yang terbaik.
Sastera rakyat dalam dunia folklore amatlah penting bagi pendedahan seperti yang tertera di atas kerana output positif yang disebarkan ini akan membantu dalam membentuk sahsiah masyarakat. Bukan itu sahaja, cerita-cerita folklore dapat diambil untuk kajian semula ataupun kaji dari bawah dalam usaha memberi penjelasan isu tersebut serta kaitannya dengan persekitaran, sosial, politik serta ekonomi. Oleh itu, penjelasan yang lebih terperinci akan mewujudkan persoalan-persoalan baharu sekaligus mewujudkan formula baharu bagi menyelesaikan sesuatu isu dan membantu dalam pembangunan sosial, politik dan ekonomi.

No comments: